Tirulah cara warga asing mencari rezeki

Jika perbandingan di buat antara tahap kerajinan pekerja tempatan dengan asing terutama dalam pekerjaan yang mendatangkan hasil tidak seberapa, berisiko atau berbahaya, sudah tentu barometer lebih terarah kepada PEKERJA ASING.

Contoh mudah; menjadi pemandangan biasa jika melihat warga asing mengambil kesempatan berniaga di kawasan sekitar persekolahan dengan menjual pelbagai jenis makanan ringan kepada pelajar sekolah.

Peniaga asing ini tidak membuka kedai atau warung untuk berniaga, sebaliknya mereka hanya menunggang motosikal dan menunggu pelajar di luar pagar sekolah sehingga waktu persekolahan tamat.

Cara mereka berniaga amat ringkas dengan hanya bermodalkan kotak kayu atau plastik dan sedikit ubah suai untuk menggantung makanan ringan yang hendak dijual. Malahan produk yang mereka jual juga amat ringkas seperti sate ikan, keropok dan ais krim.

Walaupun makanan yang dijual tidak berkhasiat, namun pelajar sekolah tetap datang membeli dengan sambutan yang menggalakkan. Maka tidak hairanlah peniaga-peniaga ini boleh bertahan dengan cara niaga mereka kerana sambutannya menggalakkan.

Yang menjadi fokus ialah orang asing pandai mengambil kesempatan dan peluang untuk berniaga, walaupun barangan yang dijual kurang berkualiti atau tidak menyihatkan. Mereka tidak peduli semua itu, janji pulangan tidak setimpal boleh digunakan untuk menyara diri dan keluarga di kampung halaman.

Melihat dari sudut positif, usaha mereka ini berlipat kali ganda berbanding dengan apa yang dilakukan oleh masyarakat tempatan.

Cara mereka berniaga ini tidak pernah terlintas dalam fikiran rakyat. Malahan ia seperti memberi petunjuk bahawa orang asing mampu menjalankan perniagaan dan mendatangkan pulangan wang sedangkan orang tempatan tidak.

Peniaga asing bermotosikal ini tidak hanya berniaga di kawasan sekolah. Mereka juga bergerak ke kawasan sekitar perumahan dengan menjual pelbagai jenis minuman dan kuih-muih yang digantung di tepi tong.

Jelas, rakyat asing pandai mengambil peluang daripada kemakmuran negara. Pada asalnya, kebanyakan orang asing ini datang sebagai buruh dan bekerja di tapak-tapak pembinaan, namun mereka menambahkan pendapatan dengan melakukan perniagaan sampingan.

Walaupun hasil daripada perniagaan sampingan itu kecil, namun ia tetap mendatangkan pendapatan yang boleh digunakan ketika waktu senang mahupun susah.

Terdapat juga petunjuk bahawa kumpulan warga asing ini telah mula menguasai perniagaan di sesetengah tempat, terutamanya di kawasan padat penduduk seperti Kuala Lumpur.

Warung perniagaan mereka bukan saja dipenuhi orang rakyat senegara tetapi juga warga tempatan.

Sebagai rakyat tempatan, kita harus berasa malu kerana peluang perniagaan yang sepatutnya direbut oleh kita telahpun dikuasai oleh rakyat asing. Dan kita sebenarnya tidak boleh menidakkan sesiapa saja mencari rezeki di negara ini asalkan cara mereka sah di sisi undang-undang.

Salahnya kita sendiri terutama anak-anak muda yang dilihat terlalu memilih pekerjaan.

Kebanyakan kita hendak mencari wang dan kekayaan dengan jalan mudah, namun tidak menggunakan ruang dan peluang perniagaan untuk menambahkan pendapatan.

berniaga

Adakah kita sanggup berusaha mencari rezeki seperti mereka?

 

Shares

Leave a Reply