Tips Kesihatan Hadapi Jerebu

Assalamualaikum … Semua Pembaca…

 

Tok Aki ada dengar khabar kurang baik untuk rakyat di negara ini. Jerebu bakal melanda negara jika cuaca panas berterusan untuk tempoh beberapa bulan lagi. Ini kerana beberapa titik panas dikesan di Indonesia yang boleh mencetus kebakaran hutan.

jerebu

Berdasarkan risik-risik Tok Aki, sudah ada hutan terbakar. Soal terbakar secara semula jadi akibat cuaca panas atau sengaja di bakar pihak tertentu tidak dapat disahkan walaupun ada cakap-cakap mengatakan pembakaran terbuka disengajakan.

Difahamkan kita bernasib baik kerana aliran angin tidak menghala ke negara kita. Jika tidak mungkin krisis jerebu kembali semula. Namun beberapa hari ini Tok Aki perasan dan mungkin orang yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur perasan persekitaran kita berjerebu sedikit.

Walau apa yang berlaku kita harus bersedia menghadapi cuaca berjerebu sekali lagi seperti mana berlaku tahun lalu sehingga ada negeri di Malaysia terjejas teruk.

Persediaan penting bagi memastikan tahap kesihatan kita tidak terjejas. Jadi entri kali ini Tok Aki ingin berkongsi mengenai Tips Kesihatan Menghadapi Jerebu walaupun pencemaran udara ini belum dapat dipastikan melanda negara.

Perlu diingat bahawa jerebu memberi impak negatif kepada manusia. Jerebu dapat menambah kesan kepada penyakit sedia ada seperti saluran pernafasan kronik, asma, radang paru-paru, batuk dan selsema.

 

Tips 1: Pakai topeng muka apabila berada di luar bangunan

  • Pemakaian topeng muka yang berkualiti penting untuk memastikan kita menghirup udara yang bertapis. Topeng muka dapat melindungi kita daripada menghirup udara kotor secara terus yang mana akan memberi kesan kepada paru-paru.

 

Tips 2: Pantau Indeks Pencemaran Udara (IPU)

  • Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa akan mengemaskini tahap IPU di semua kawasan. Jadi amat penting untuk kita memantau paras berkenaan bagi memastikan kesiapsiaga kita untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

 

Tips 3: Kurangkan Aktiviti Luar Rumah

  • Ketika jerebu melanda anda perlu mengehadkan aktiviti luar rumah untuk mengelakkan terdedah kepada udara tidak sihat. Langkah ini dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit akibat jerebu. Jadi, ketika jerebu, seboleh-bolehnya tidak perlu keluar rumah untuk beriadah.

 

Tips 4: Banyak Minum Air

  • Minum air pada kuantiti banyak sekurang-kurangnya dua liter sehari dapat mengelakkan daripada masalah berkaitan jerebu. Air dapat membantu menghidratkan semula badan.

 

Tips 5: Jangan Merokok

  • Tips ini tidak hanya terpakai ketika jerebu. Ia adalah bagus jika tidak merokok sepanjang masa untuk memastikan udara di sekeliling kita bersih. Hakikatnya, rokok sudah bahaya kepada perokok dan orang sekeliling. Namun ketika jerebu, tahap bahaya mungkin meningkat dua kali ganda dan secara tidak langsung perokok menyumbang kepada tahap udara tidak sihat.

 

Tips 6: Basuh Muka, Tangan Selepas Melakukan Aktiviti Luar Rumah

  • Kita seharusnya mendidik diri dan anak-anak supaya membasuh tangan selepas melakukan sebarang aktiviti di luar atau dalam rumah. Amalan ini baik untuk kesihatan dan kita tidak mudah dijangkiti kuman yang boleh mengakibatkan pelbagai sakit termasuk ciri birit dan keracunan makanan.

 

Tips 7: Jangan Melakukan Pembakar Terbuka

  • Tabiat ini biasanya berlaku di kampung-kampung. Kepada pakcik dan makcik seharusnya peka. Hentikan tabiat membakar secara terbuka termasuk ketika waktu jerebu.

 

Pada hemat Tok Aki setiap kejadian ada hikmahnya supaya kita lebih peka dalam menjaga alam sekitar. Alam Sekitar yang sihat akan menterjemahkan kehidupan sihat. Namun, dalam pada kita berjaga-jaga, mungkin ada orang yang tidak bertanggungjawab menangguk di air keruh (membakar tanah untuk memastikan kesuburan tanah). Jerebu sukar diatasi tetapi kita seharus tahu panduan menghadapi saat udara tidak sihat ini.

 

Sekian…

Shares

Leave a Reply