Tips Berhenti Merokok

Berhenti Merokok
Jika dulu tabiat merokok dikatakan menjadi satu gaya di mana seorang perokok disifatkan lebih matang berbanding bukan perokok.

Hakikatnya, fahaman itu salah sama sekali kerana budaya tidak berfaedah ini sememangnya tidak sihat, malah ia bukan saja mengundang malapetaka kepada perokok, malah orang sekeliling (perokok pasif) juga turut mendapat tempias.

Sebenarnya, perokok sedia maklum bahawa setiap batang rokok mengandungi lebih 4,000 racun yang boleh mengakibatkan kepada pelbagai penyakit berbahaya termasuk jantung dan paru-paru.
bahaya merokok
Namun, kerana ketagih yang tidak dapat dielakkan, mereka terpaksa juga menyedut walaupun menyedari bahana yang bakal menanti mereka .

Baru-baru ini, timbul pula budaya baharu menggantikan rokok konvensional. Dikenali sebagai rokok elektronik atau lebih glamour lagi disebut vape atau vapor dan tukang sedut pula dikenali vaper.

Sebenarnya, vape atau vapor bukanlah pilihan bijak untuk perokok menghentikan tabiat menghabiskan duit ini kerana ia tetap memberi kesan kepada kesihatan walaupun ramai yang berkata impaknya lebih kecil berbanding rokok konvensional.

Tidak kira rokok atau vape. Kita sebagai manusia seharusnya menolak kedua-dua tabiat ini kerana ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada kita dan orang sekeliling kita.

Tips Untuk Berhenti Merokok

  1. Pemakanan
  • Pemakanan memainkan peranan besar kepada perokok untuk tidak lagi merokok. Jika perokok ingin berhenti merokok, mereka boleh mencuba pelbagai makanan termasuk madu, makanan masin, halia, bawang putih, kayu manis dan epal.
  • Ini kerana makanan ini mengurangkan keinginan untuk menghisap rokok selain dapat mengurangkan impak daripada rokok.
  1. Tingkatkan keazaman untuk berhenti
  • Setiap perkara yang dilakukan kita memerlukan sangat keazaman yang tinggi. Berhenti merokok seolah-olah anda meletakkan azam untuk berkahwin. Jika anda meletakkan keazaman ini setara dengan sasaran yang ingin dicapai, saya percaya ia mampu dicapai.
  • Bila sebut pasal kahwin, hampir 9 daripada 10 amat menginginkannya dan akan sedaya upaya mencuba mengakhiri zaman bujang secepat mungkin.
  • Jadi sila letakkan keazaman untuk berhenti merokok sama dengan ingin anda berkahwin.
  • Ini kerana jika ingin berkahwin, anda memerlukan perancangan. Jadi sama juga dengan berhenti merokok. Anda memerlukan perancangan dan bantuan daripada mereka tersayang.
  • Untuk lebih mudah, anda cuba bayangkan harga sekotak rokok iaitu RM119 seminggu (RM17 sehari) bersamaan dengan kira-kira lima pek susu formula untuk anak anda (bagi yang memiliki anak) dan boleh dikirim kepada ibu bapa anda di kampung (kepada yang masih bujang – itu baru seminggu. Kalau sebulan sudah RM476).
  • Oleh itu, selalulah buat perbandingan dengan perkara yang perlu diutamakan sebelum anda membeli rokok (jika ada yang masih buat tak tau mengenai musibah rokok).
  1. Lakukan aktiviti yang lebih berfaedah
  • Aktiviti luar yang lebih bermanfaat mampu membuatkan anda lupa untuk merokok (jika bergaul dengan bukan perokok).
  • Jika anda bergaul dengan bukan perokok, mungkin timbul rasa malu untuk merokok ketika melakukan sebarang aktiviti bersama mereka.
  • Anda boleh melakukan senaman apabila timbul keinginan untuk merokok termasuk menarik nafas sedalamnya kemudian hembus perlahan-lahan jika keinginan merokok timbul.
  • Dekatkan diri dengan Pencipta. Selalu membaca al-Quran, berselawat dan amalkan mengambil wuduk. Yang penting selalulah berdoa supaya tabiat buruk ini dapat dihindarkan.
  1. Cuba alat bantuan seperti pil berhenti merokok yang terdapat di pasaran
  • Mungkin cara ini membuatkan anda lebih tahu menghargainya kerana pil-pil ini berharga agak mahal.
  • Jadi anda akan berfikir dua kali untuk merokok kerana jika anda tetap merokok, ia akan menyebabkan kos anda menjadi dua kali ganda (bagi mereka yang fikir duit atau kos lebih penting dari kesihatan diri dan keluarga.

Konklusi

Tidak dinafikan, untuk berhenti merokok bukannya sesuatu yang mudah kerana apabila ia menjadi tabiat kemudiannya ketagih, anda memerlukan keazaman yang tinggi untuk meninggalkan rokok.

Namun, jika anda fokus dengan usaha dan menetapkan matlamat hidup, Insya-Allah anda akan berjaya. Ingatlah rokok mahupun vape tidak akan memberi manfaat kepada anda.

Shares

Leave a Reply