Tips Atasi Masalah Sukar Tidur atau Insomnia

Assalamualaikum… Semua Pembaca…

Baru-baru ini, Tok Aki ada terbaca keratan akhbar mengatakan Tidur Kurang 6 Jam Boleh Membawa Maut.

Bahaya sungguh jika badan kurang rehat selepas penat bekerja seharian. Masalah ini sering terjadi apabila badan terlalu penat sehingga mata sukar untuk lelap.

Konteks headline yang diterbitkan akhbar berkenaan membawa maksud yang subjektif jika hanya dibaca dari tajuknya. Walaupun, isinya merujuk kepada penyakit berkaitan jantung, pada hemah Tok Aki, jika kurang tidur boleh membuatkan kita hilang tumpuan.

Lebih-lebih lagi jika kita bekerja dalam sektor membabitkan pengangkutan atau perkilangan. Ini kerana sektor ini memerlukan daya tumpuan lebih untuk mengendalikan kenderaan dan mesin. Jika sedikit terleka, padahnya amat buruk.

Sukar Tidur Atau Insomnia

Sehubungan itu, tidur yang cukup amat penting kepada manusia dalam mengembalikan semula tenaga untuk bekerja pada keesokan harinya. Tidur yang cukup juga memainkan peranan penting kepada manusia untuk memastikan daya tumpuan yang lebih baik.

Ada benarnya juga jika tidur tidak cukup akan menjurus kepada penyakit berbahaya seperti jantung. Oleh sebab itu, pakar sentiasa mengingatkan supaya kita tidur selama 8 jam. Jika terlebih juga tidak baik untuk kesihatan.

Ada juga mengatakan tidur yang cukup tidak hanya dapat memberi kesihatan yang optimum kepada kita, malah dapat mengekalkan kecantikan dan keremajaan seseorang.

Entri kali ini, Tok Aki melangkau segmen kebiasaan bagi Tok Aki iaitu Petua Amalan Turun Temurun kepada Tips Kesihatan dan Kecantikan.

Tips 1 :

Apa yang perlu anda lakukan adalah mengosong minda dan jangan terlalu memikirkan hal seharian yang sudah berlaku dan yang akan dilakukan keesokan hari. Apa yang penting, anda perlu melapangkan fikiran dan pastikan minda anda kosong sebelum melelapkan mata. Lebih elok jika sebelum tidur, kita yang beragama Islam ini membaca Al-Fatihah, 3 Qul, Ayat Kursi dan Doa Sebelum Tidur.

Tips 2 :

Pastikan sebelum tidur anda menetapkan posisi yang paling selesa untuk mempercepatkan proses anda melelapkan mata. Bantal dan tilam memainkan peranan yang amat penting dalam hal ini.

Tips 3 :

Tok Aki nak nasihatkan kepada pembaca semua supaya jangan meminum minuman berkafein sebelum tidur seperti kopi. Sebaliknya, amalkan meminum susu dan air suam sebelum masuk ke kamar tidur. Insya-Allah anda pasti boleh tidur.

Tips 4 :

Anda juga boleh mencuba mandi air yang hangat sebelum tidur untuk melegakan badan selain ia juga akan mengurangkan stress. Anda pasti akan lebih segar dan sangat bersedia untuk tidur.

Tidur adalah nikmat yang tidak terhingga kepada manusia selain makan, mendengar dan melihat. Justeru, amalkan tidur pada waktunya dan jangan berjaga sehingga lewat malam.. Jadikan amalan tidur awal seperti kita terapkan kepada anak-anak kecil untuk memastikan kita tidur dengan secukupnya dan tidak ‘terbabas’ solat Subuh (bagi yang beragama Islam).

Amalkan gaya hidup sihat..

Sekian..

Shares

Leave a Reply