Timba pengalaman sebanyak mungkin

pengalaman

Gaji memainkan peranan penting yang sering berada di fikiran sesiapa saja jika mereka sebagai ‘pekerja’ atau graduan sebelum menerima tawaran selain jenis pekerjaan dan kesesuaiannya.

Tiada sesiapa di dunia ini tidak mengimpikan jawatan yang selesa dan gaji lumayan, tetapi ingat!, anda perlu sentiasa bersikap realistik dan tidak terlalu menaruh harapan tinggi terutama ketika mula melangkah ke alam pekerjaan.

Permintaan gaji hendaklah setaraf dengan kelayakan yang ada, namun bagi majikan pula, apa yang diinginkan adalah pengalaman bekerja yang mana menjadi penanda aras dalam menentukan paras gaji bakal pekerja.

Kepada graduan, mereka membuat semakan kadar gaji setaraf kelayakan di pasaran kerja menerusi laman web merangkumi pelbagai bidang termasuk pentadbiran, kejuruteraan, teknologi maklumat serta pendidikan.

Maklumat ini amat berguna kepada pencari kerja bagi mengetahui sama ada mereka ditawarkan kadar gaji wajar atau sebaliknya.

Kebiasaannya ketika temu duga, soal gaji adalah perkara terakhir dibincangkan antara majikan dan bakal pekerja.

Pengetahuan mengenai tangga gaji boleh membantu graduan membuat pertimbangan sama ada akan menerima pekerjaan itu atau tidak. Pengetahuan itu juga boleh digunakan untuk sesi tawar-menawar kadar gaji dengan bakal majikan.

Bagaimanapun, penilaian kadar gaji biasanya berdasarkan kelulusan dan pengalaman. Namun anda harus ingat! dengan situasi semakan yang menyaksikan lambakan graduan dan pencari kerja menyebabkan majikan mengambil kesempatan menawarkan kadar gaji lebih rendah yang tidak setimpal dengan kelulusan serta pengalaman.

Justeru, anda seharusnya tidak boleh terlalu memilih pekerjaan dan gaji sebaliknya menerima pekerjaan yang difikir sesuai sebagai permulaan untuk menimba pengalaman bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan lebih baik pada masa depan.

Tiada salah jika pemegang ijazah menerima pekerjaan yang memerlukan kelulusan lebih rendah sebagai permulaan apabila memasuki alam pekerjaan bagi mendapatkan pengalaman kerana banyak majikan kini mahukan pengalaman seiring dengan kelulusan.

Jika diperhatikan, kadar gaji bagi pekerja baru yang memiliki pengalaman adalah lebih tinggi berbanding pekerja baru yang sekadar memiliki kelulusan semata-mata.

Pengalaman, selain menjadi pengukur kadar gaji, ia juga membuatkan pekerja lebih matang, yakin dan cepat menyesuaikan diri dengan tugasan mencabar, sekali gus membantunya meningkatkan prestasi.

Ramai tokoh, tidak kira dalam perniagaan atau pegawai kanan syarikat sebenarnya bermula dari bawah, menimba pengalaman dan pengetahuan mengenai pekerjaan masing-masing sebelum memegang jawatan tinggi.

Kesimpulannya, jika anda inginkan gaji lumayan, anda harus fikir adalah ia setaraf dengan kelayakan yang dimilikinya, termasuk pengalaman yang kini menjadi syarat wajib hampir semua majikan di dunia.

Shares

Leave a Reply