Tangani Kos Sara Hidup

sara hidupHakikat kehidupan yang paling perit kita hadapi dewasa ini ialah kenaikan kos sara hidup yang mana perkara ini amat sukar untuk ditangani secara mutlak dan sukar dicapai akibat pasang surut keadaan ekonomi.

Walaupun sukar, ini tidak bermakna kita tidak boleh mengawal dan meminimumkan kesan situasi kos sara hidup ini.

Sedar atau tidak, kerajaan melalui salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah memulakan langkah menangani kos sara hidup yang disebabkan jurang pendapatan yang besar dan tidak seimbang terutamanya antara kumpulan isi rumah.

Kepada keluarga yang berpendapatan rendah, kenaikan kos sara hidup menyebabkan kuasa beli menyusut. Selain daripada itu ia juga memberi kesan negatif kepada institusi kekeluargaan termasuklah aspek pemakanan dan persekolahan anak-anak.

Antara lain, bagi membantu kelompok ini, kerajaan telah mewujudkan skim baucer pembelian buku untuk para pelajar dan Kedai Rakyat 1Malaysia yang membekalkan barangan runcit dengan harga yang berpatutan sebagai satu transformasi bagi membantu keluarga berpendapatan rendah dan sederhana menyempurnakan keperluan keluarga.

Kerajaan melaksanakan program-program bantuan ini kerana menyedari impak peningkatan kos sara hidup merupakan persoalan sosial yang perlu di ambil kira kerana perkara ini meliputi aspek kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Pembangunan masyarakat merupakan satu unsur kolektif dalam mencapai kesejahteraan hidup dan usaha untuk mewujudkan sebuah negara maju.

Walau bagaimanapun, adalah tidak wajar bagi kita untuk hanya membiarkan kerajaan dalam soal menangani peningkatan kos sara hidup ini. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh sebaliknya perlu proaktif mengurus cara hidup sesuai dengan pendapatan. Sikap mengikut tren terkini tidak membantu usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat terutama sekali bagi mereka yang berada dalam kumpulan isi rumah 40% terendah.

Perlu disedari bahawa menangani kos sara hidup merupakan tugas sukar kerana ekonomi Malaysia yang terbuka dan sensitif kepada kesan langsung krisis di negara lain yang antara lain boleh menyebabkan peningkatan harga barang dan perkhidmatan dalam masa yang singkat.

Kos sara hidup berkait rapat dengan persoalan mengenai pengurusan pendapatan yang mana perkara ini hanya akan dapat ditangani secara efektif dengan kesungguhan untuk beristiqamah dalam pengendalian pendapatan.

Jika kita tidak bersikap proaktif mengurus wang dengan baik sebagai langkah menghadapi kenaikan kos sara hidup ini, masakan kita akan dapat menjadi gembira dan berlapang dada dalam menghadapi hari-hari mendatang.

Hanya dengan kesedaran terhadap apa yang sedang berlaku dalam persekitaran ekonomi semasa dan mengambil tindakan serta langkah-langkah sewajarnya serta memahami tindakan kerajaan bagi memastikan kita bergerak seiring dengan perubahan tersebut kita sebagai sebuah masyarakat akan dapat mengawal kecelaruan yang timbul akibat kegawatan ekonomi ini.

Sikap proaktif tersebut akan mengubah taraf hidup serta menambah baik jurang pendapatan dan menangani kos sara hidup dan memungkinkan kita untuk mencapai sasaran negara maju 2020 serta maju dalam pembangunan ekonomi, masyarakat dan sosial.

Shares

Leave a Reply