Soal Anak Buat Wanita Sentap

soal anak

DULU saudara-mara asyik bergossip Si Huda yang sudah memiliki ijazah tidak ada teman lelaki. Selepas gadis itu bertunang, sibuknya si ‘busy body’ bertanya bila pula hendak berkahwin.

Sebaik saja mendirikan rumah tangga, ada lagi soalan nakal; bila pula Huda hendak menimang cahayamata. Ingatkan sudah berakhir di situ… ada lagi soalan cepu mas; bila pula Along nak dapat ‘adik’? Arghhhhhh… stress kan?

Selepas tiga tahun memiliki cahayamata pertama, sibuk pula tetangga bertanya bila hendak menimang anak kedua.

Sakit bersalin belum hilang, namun Huda sudah dibeban dengan suara-suara sumbang agar memperoleh cahayamata seterusnya.

Baginya, mengurus anak yang baru berusia tiga tahun amat memenatkan. Apatah lagi dia juga ibu berkerjaya turut terbeban dengan masalah pengasuh yang asyik bertukar.

Baginya, itu bukan alasan untuk enggan menambah bilangan anak seterusnya. Bersama suami, mereka banyak memikirkan perancangan keluarga selain memikirkan masa depan jika mereka mempunyai cahayamata lagi.

Dua bulan lepas Huda keguguran, namun dia tidak pernah berhenti berdoa agar satu hari nanti dianugerahkan beberapa orang lagi cahayamata.

Menurut pakar, faktor utama sukar mendapat anak kerana Huda tidak subur. Ini disebabkan jadual ‘datang bulan’ atau haidnya yang tidak teratur. Untuk itu, Huda dan suami mengadakan janji temu dengan doktor bagi mendapatkan nasihat terbaik.

Tidak dinafikan, setiap pasangan berkahwin mahu menimang cahayamata secepat mungkin. Namun, ada kalangan pasangan susah mendapat anak hingga terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya. Segelintir pasangan bertuah kerana mudah memperoleh cahayamata.

Anak adalah anugerah terindah atau penyeri dalam hidup pasangan yang mendirikan mahligai bahagia.

Ramai yang tidak mengetahui punca sukar mendapat anak hingga ada yang menuding jari kepada pasangan masing-masing. Antaranya adalah;

* Kecelaruan ovulasi iaitu proses mengeluarkan telur untuk disenyawakan kerana ovulasi berlaku dua minggu sebelum period.

Biasanya ia berlaku pada hari ke-14 kiraan normal jika ovulasi stabil dan begitulah sebaliknya. Antara faktor hormon tidak stabil berpunca daripada beberapa sebab seperti; telur tidak sihat, kurang nutrisi, obesiti, masalah genetik, merokok atau gaya hidup tidak sihat.

Selain itu, penggunaan ubat yang mempunyai hormon misalnya pil perancang keluarga, stress, xenohormones dan pelbagai juga penyumbang kepada permasalahan ini.

Merokok, pemakanan tidak terjaga dan pakaian ketat antara punca yang menghalang kesuburan wanita.

Persekitaran tercemar dan sperma tidak elok berpunca daripada faktor yang dinyatakan boleh menyebabkan organ peranakan rosak. Untuk itu, cuba elakkan perkara yang dinyatakan.

* Sperma tidak sihat antara punca sukar memperoleh anak dan termasuk dalam kategori motility (gerakan sperma terutama ekornya) serta morphology (bentuk sperma dan DNA). Ini kerana 25 peratus ketidaksuburan berpunca daripada sperma tidak sihat.

Lebih malang lagi, jika tiub fallopio tersumbat menyebabkan telur dari ovari tidak dapat membawanya ke uterus. Tiub fallopio tersumbat kerana terjadinya penyakit inflamasi pelvik (PID), endometriosis, fibroid atau mengandung di luar rahim.

Jika endometriosis tidak keluar habis ketika period atau haid, juga penyumbang kepada masalah ini. Kajian menunjukkan 35-50 pratus ketidaksuburan wanita berpunca daripada endometriosis. Ia dua atau tiga kali ganda dari ketidaksuburan dalam masyarakat kita.

* Sindrom hormon badan tidak stabil atau Polysystic Ovary Syndrome (PCOS) terjadi ekoran putaran haid tidak menentu, berat badan bertambah, kerintangan insulin meningkat, masalah kulit, ‘cyst’ kecil di ovari dan hirsutisme (lebihan bulu pada badan/rambut keguguran).

Namun tidak semua wanita dikesan ada PCOS itu mesti ada semua simptom, sebaliknya ada 2 atau 3 simptom saja iaitu kira-kira 4-18 peratus wanita.

* Faktor lain yang memberi kesan kesihatan ovari kepada wanita termasuk telur yang tidak sihat, persekitaran, hormon, cara hidup dan proses penuaan juga jadi penyebab sukar mendapat anak.

Oleh itu, jika sudah tahu punca anda harus berikhtiar mengatasinya. Selepas berusaha barulah berserah pada Yang Esa agar dianugerahkan cahayamata sebagai penyeri rumah tangga dan seterusnya membawa ke syurga.

Shares

Leave a Reply