Biografi Pengasas – Rushdi Abdullah

rushdi abdullah
Rushdi Abdullah dilahirkan tanggal 14 Jun 1970 dan telah dibesarkan di daerah Pasir Mas, Kelantan. Beliau telah berkahwin dan kini memiliki 2 cahaya mata.

Kegagalan lampau tidak pernah membuatkan beliau putus asa untuk terus ‘bergelumang’ dalam dunia perniagaan, malah ia sebenarnya mengajar usahawan berusia 45 tahun itu tentang pelbagai perkara termasuk pengurusan kewangan yang baik.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dunia Herbs Holdings, kegagalan dalam perniagaan pakaian yang menjadi warisan daripada bapanya dan periuk nasi keluarganya benar-benar membuatkannya sedar tentang cabaran dunia perniagaan.

Lebih perit perniagaan yang diusahakan oleh bapanya, Allahyarham Abdullah Che Wel sejak tahun 1989 berkubur selepas Rushdi mengambilalihnya 10 tahun selepas itu ekoran sikapnya yang kurang arif dalam pengurusan kewangan.

“Perniagaan pakaian yang dijalankan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur oleh ayah selepas berhijrah dari Rantau Panjang, Kelantan pada tahun 1989 “bankrap” disebabkan kesilapan saya. “Perniagaan yang dibina selama 10 tahun sebelum diserahkan kepada saya pada 1999, lumpuh dalam masa empat tahun kerana sikap boros saya dan tidak pandai menyimpan untuk kegunaan pada masa depan.

“Pada masa itu, kehidupan saya amat susah kerana tiada lagi pendapatan dan lebih teruk lagi kereta ditarik dan pinjaman bank juga tidak berbayar. Ketika itu saya betul-betul kecewa kerana semua ini berlaku disebabkan saya,” jelas Rushdi. Bagaimanapun, katanya, kehidupan perlu diteruskan walaupun perlu melalui tamparan yang hebat. Beliau mula bekerja di syarikat perumahan untuk menampung hidup di Kuala Lumpur.

“Kehidupan bertambah sukar kerana tidak memiliki kenderaan untuk ke tempat kerja. Sehinggakan saya terpaksa meminjam motosikal dari adik ipar untuk bekerja. Bekerja sebagai jurujual projek perumahan dengan pendapatan pokok RM500 sebulan menjadi cabaran baharu kepadanya. Dengan gaji kecil beliau terpaksa ikat perut sehingga ada kalanya hanya mempunyai wang saku RM2 dan terpaksa makan roti untuk alas perut pada waktu tengah hari. “Saya bekerja dengan syarikat berkenaan selama setahun dan pada 2003, minat berniaga kembali semula dan saya mencari inisiatif sendiri untuk kembali ke dunia yang pernah membuatkan saya menderita seketika.
rushdi abdullah
“Perniagaan selepas bangkit semula dari kegagalan adalah berniaga baju terpakai. Saya menolong rakan berniaga dengan mendapat komisen dari perniagaan jualan pakaian terpakai. Inilah satunya cara ketika itu untuk menambah pendapatan,” katanya.

Menyedari pendapatan kurang memberangsangkan untuk kekal hidup di bandar besar, Rushdi mengambil langkah untuk berjinak dalam perniagaan menjual kuih di Kampong Baru dengan modal permulaan RM1,000.

“Alhamdulillah, perniagaan kuih saya amat baik dan ramai pelanggan yang menyukai kuih yang dibuat sendiri oleh saya. “Allah memberi jalan dan perniagaan ini banyak mengajar saya tentang kehidupan, sedar dari kesilapan dulu, tidak boros, rasa bersyukur dan jangan pandang remeh perniagaan kecil-kecilan. “Dengan berniaga kuih saya mula boleh menyimpan modal sekurang-kurangnya RM100 sehari sehinggakan dalam masa dua tahun saya boleh mengumpul modal RM10,000,” katanya.

Rushdi berkata, berbekalkan modal itu beliau membuka perniagaan Dunia Herbs dengan memilih produk berasaskan halia yang memiliki banyak keistimewaan untuk kesihatan.

“Saya bernasib baik kerana SIRIM banyak membantu saya membangunkan perniagaan produk pati halia termasuk berkongsi formula menghasilkan produk dan geran menggunakan inkubatornya,” jelasnya. Pada tahun 2005, produk pertama Dunia Herbs iaitu Losyen Pati Halia dipasarkan dengan harga RM22 sebotol. “Dengan adanya modal saya menyewa lot kedai di Plaza Idaman, Gombak dengan dua lagi pekerja memulakan perniagaan kami.

“Satu kejutan juga buat saya kerana dalam masa tiga bulan Dunia Herbs berjaya menjual 10,000 botol Losyen Pati Halia. Satu permulaan yang baik untuk saya dan perniagaan yang baharu ini,” katanya. Katanya, berdasarkan keberkesanannya, produk terbabit mendapat permintaan ramai dan dalam masa enam bulan maklum balas yang di terima amat baik. “Hasil kesungguhan dan iltizam yang tinggi, dalam masa setahun Dunia Herbs berjaya mewujudkan 20 stokis di seluruh negara dan bermula 2007-2008 produk ini berjaya dijual sebanyak 100,000 botol sebulan,” katanya.

Sokongan para-para Stokis Dunia Herbs adalah antara sumbangan paling besar dalam memastikan kejayaan syarikat Dunia Herbs Holding sampai ke tahap sekarang.

“Syukur pada Allah, nikmat yang dikecapi hari ini juga adalah berkat dari doa Arwah bapa dan ibu saya serta kasih sayang adik-beradik saya yang sentiasa ada disisi membantu dikala susah dan senang dan juga isteri yang sangat memahami yang sentiasa memberi dorongan dan inspirasi kepada saya dalam meniti cabaran kehidupan dan perniagaan sehingga kini.”


  • Biodata

    Nama
    Rushdi Bin Abdullah
    Tarikh Lahir
    14 Jun 1970
    Tempat Lahir
    Rantau Panjang, Kelantan
    Tahap Pendidikan
    SPM
    Pendidikan
    Sek. Men. Tinggi Setapak, K. Lumpur
    Pengalaman
    25 tahun dalam bidang perniagaan
    Syarikat Dimiliki
    Dunia Herbs Holding Sdn. Bhd.
    Beauty Herbs Marketing
    Dunia Wellness Laboratories Sdn. Bhd.
    Dunia Hasanah Development Sdn. Bhd.
    Bumidotcom (BDC) Sdn. Bhd.
    Nama Bapa
    Haji Abdullah Bin Che Wel
    Nama Ibu
    Hajjah Sapinah Binti Ahmad
    Nama Isteri
    Suhaini Binti Hanafi (29 tahun)
    Nama Anak
    Muhammad Aqil Iman Bin Rushdi (7 tahun)
    Qaseh Nur Zahraa Binti Rushdi (3 tahun)
    Adik-Beradik
    Anak ke-2 dari 6 adik-beradik
  • rushdi abdullah

Fanpage

Shares