Petua Merawat Ulser Mulut

Assalamualaikum…Semua Pembaca…

Nasib baik, setiap petua yang Tok Aki sampaikan dan kongsikan dengan pembaca menerusi kaedah maya atau digital, bukannya mulut ke mulut..

Bukan apa Tok Aki ni sering terkena penyakit Ulser Mulut, jadi kalau kaedah mulut ke mulut, alamatnya memang susah lah nak berkongsi dengan orang lain.. Nasib baik juga Tok Aki ni tak dilahirkan untuk menjadi penceramah.

Jika ya, sudah tentu ramai pendengar akan kecewa sebab tak dapat mendengar ceramah Tok Aki dengan baik dek kerana Ulser Mulut.

Orang yang pernah mengalaminya tentu tahu akan kesakitannya, lebih-lebih lagi Ulser Mulut tu tumbuh di kawasan terhimpit seperti belakang bibir dan gusi.

ulser mulut

Jika Ulser naik pada kedua-dua tempat ni, alamatnya memang susah nak mengunyah apatah lagi bercakap.. Pendek kata semua benda yang dibuat tak kena dan ketika ini mereka yang tidak dapat mengawal amarah sudah pasti orang di sekeliling akan menjadi mangsa.

Berbalik kepada cerita Tok Aki sendiri, masalah Ulser Mulut yang dihadapi Tok Aki ini berlaku sejak Tok Aki berusia 20-an.

Dalam mulut Tok Aki ni terlalu sensitif, jika tergigit sudah pasti akan terbentuknya Ulser sehingga mengambil masa yang agak lama untuk penyembuhan.

Kadang-kadang bergurau dengan cucu pun kena berhati-hati sebab jika terhantuk mudah sangat mulut Tok Aki pecah dan terjadinya Ulser.

Bila Ulser ni, satu masalahnya susah nak makan, tak boleh makanan terlalu panas atau pedas. Jika termakan makanan panas atau pedas ketika Ulser Mulut, pendek kata macam nak melompat jika makanan terkena pada Ulser.

Rasanya berdenyut seperti sakit kepala dan gigi.. Kadang-kadang rasa macam nak demam..

Namun, Tok Aki ada petua untuk merawat Ulser Mulut dengan berkesan mengikut cara turun-temurun..

Alhamdulillah…. setakat ini petua Tok Aki amalkan ini mujarab (dengan izin-Nya) untuk Tok Aki dan tidak salah jika pembaca yang menghadapi masalah sama dengan Tok Aki turut berikhtiar dengan mencuba petua yang Tok Aki kongsikan ini.

Petua 1: Berkumur Dengan Air Garam

Tok Aki selalu amalkan berkumur dengan Air Garam dua atau tiga kali sehari ketika berdepan masalah Ulser Mulut ni.. Ia memberi kelegaan kepada mulut Tok Aki dan dalam masa sama ia dapat menyembuhkan Ulser Mulut dengan lebih cepat. Air Garam juga bagus untuk menghindari masalah jangkitan mulut.

Petua 2: Madu

Tok Aki juga selalu amalkan meminum Madu.. Kalau dapat madu kelulut lagi bagus.. Madu tidak hanya bagus untuk merawat Ulser Mulut, malah dapat merawat pelbagai penyakit lain termasuk selsema dan batuk.

Caranya mudah, hanya ambil secalit Madu dan tempelkan pada Ulser. Insya-Allah ia akan bertindak menjadi ejen penyembuh yang cepat.

Petua 3: Asam Keping atau Asam Gelugor

Kebiasaannya, Asam Keping atau Gelugor ni terdapat di dapur pembaca semua. Jadi ia akan memudahkan pengidap Ulser Mulut mendapat rawatan. Mudah saja caranya, ambil cebisan Asam Keping dan tempelkan pada Ulser. Rasa pedih sedikit (bagi yang tak dapat tahan) tetapi dengan izin Allah.

Selamat Mencuba..

Sekian

Shares

Leave a Reply