Petua Merawat Sakit Tekak

Assalamualaikum…. Pembaca semua..

 

Pada entri kali ini Tok Aki nak berkongsi petua merawat masalah sakit tekak. Tok Aki pun pernah mengalami masalah ini dan Tok Aki percaya semua pernah laluinya. Apabila tekak sakit, masalah utama yang dihadapi kita adalah sukar untuk menelan makanan pepejal terutama makanan ruji kita iaitu nasi.

Walaupun kita mempunyai pilihan kepada makanan lebih lembut termasuk bubur, namun boleh dikatakan semua jenis makanan malahan minuman juga sukar melalui tekak ketika sakit.

sakit tekak

Jika kita tidak berupaya menahan sakit untuk makan dan minum, kita berdepan dengan masalah lain termasuk kurang vitamin atau dehidrasi yang membuatkan kita terdedah penyakit lebih berat.

Pernah sekali Tok Aki sakit tekak, sudahlah makan dan minum susah, nak bercakap dengan org pun tiada mood… Sekali ingat macam ayam berak kapur dah.. Semua makanan kegemaran yang isteri Tok Aki masak tak dapat jamah…

Mujurlah isteri sangat memahami keadaan Tok Aki. Nak tak nak Tok Aki yang perlu lalui tempoh sakit selama beberapa hari.

Bila sakit tekak nak bercakap pun kurang suara.. bukan tiada suara langsung ya.. Kita seolah-olah perlu menjerit untuk bercakap dengan sesiapa saya.. Kalau bercakap dengan orang tua macam Tok Aki ni susah la sedikit, maklumlah pendengaran pun dah makin kurang.

Pendek kata, perlu banyak berdiam diri buat sementara sebab kalau bercakap pun orang lain sukar faham dek kerana suara serak, malahan tekak juga perit.

Akan tetapi masalah dan kesakitan dapat diatasi. Bab kata orang semua penyakit ada ubatnya. Mujurlah Tok Aki ni banyak petua hasil pendedahan dengan orang yang lebih tua dari Tok Aki ketika muda dulu.

Jadi, masalah sakit tekak boleh diatasi dengan cara tradisional tanpa perlu memakan ubat moden atau lozen.

 

Petua 1: Asam Jawa

Asam Jawa amat sinonim untuk merawat sakit tekak. Jika dibuat air sangat sedap dan ia bukan hanya untuk merawat sakit tekak saja. Tok Aki memang selalu amalkan meminum air asam jawa.. Asam jawa boleh dibeli di kedai-kedai runcit dan harganya tidak semahal lozen yang biasa kita beli di farmasi.

Apa yang perlu dilakukan adalah campurkan beberapa ketul asam jawa dalam segelas air suam kemudian kacau dan tapis sebelum meminumnya.

Nak lebih mudah, beli saja jus asam jawa. Mudah dan cepat.. Tetapi teknik yang dilakukan sendiri lagi bagus. Sekurang-kurangnya kita berusaha untuk merawat sakit yang dialami.

 

Petua 2: Air Garam

Petua ini Tok Aki juga gemar amalkan kerana bukan saja merawat sakit tekak, malah ia boleh rawat sakit gigi atau ulser. Mudah saja dan perbelanjaan juga rendah. Hanya campurkan satu sudu garam dalam segelas air suam dan kacau hingga sebati sebelum minumnya. Ia bagus untuk melegakan rasa gatal dalam tekak.

 

Petua 3: Air Limau dan Madu

Petua ini lagi ‘best’ pada pendapat Tok Aki. Apa yang perlu dilakukan mudah saja, ambil segelas air suam dan campurkan dengan perahan limau nipis dan tambahkan dengan satu sudu madu lebah. Amalkan minum air limau ni 3 kali sehari.

Apa jua petua yang Tok Aki kongsikan, jika sakit berlarutan adalah lebih elok berjumpa dengan pakar sebab mungkin ia disebabkan masalah lain. Satu lagi, jika anda perokok, eloklah berhenti saja tabiat itu untuk kesihatan yang lebih optimum.

 

Selamat mencuba…

 

Sekian…

Shares
2 Comments
0 Pings & Trackbacks
0 Pings & Trackbacks

Leave a Reply