Petua Merawat Luka Kecil Secara Tradisional

Assalamualaikum… Semua Pembaca..

 

Pada entri kali ini Tok Aki ingin berkongsi Petua Merawat Luka Kecil Secara Tradisional bersama semua pembaca. Mungkin petua ini agak janggal kepada anda semua namun ia ternyata mujarab kerana Tok Aki sendiri mengamalkannya.

 

Merawat Luka Kecil

 

Luka tidak boleh lari daripada terjadi kepada kita semua berdasarkan persekitaran dan aktiviti yang dijalankan seharian. Ia perkara normal dan tidak mungkin tidak pernah terjadi kepada sesiapa di dunia. Sebagai contoh, anak jantan.. Jika tidak berparut kita akan dilabelkan kurang anak jantan.

 

Biasalah di kampung semua kanak-kanak ‘buas-buas’ belaka, semua jenis pokok mahu dipanjat untuk menunjukkan tahap keberanian. Sampaikan pokok betik Atok di kampung, Tok Aki pernah panjat. Sampai tumbang pokok betik tu. Apa lagi mengamuk Atok. Tok Aki kena perambat dengan pelepah kelapa keliling rumah tau.

 

Semua tu kisah lama dan kini menjadi kenangan. Namun, Tok Aki nak tegaskan situasi menghadapi masalah luka ni amat berlainan kehidupan di bandar. Kebiasaannya, apabila kita atau anak kita luka, tidak kira terkena pisau atau terjatuh. Sudah pasti kita akan letak iodin pada luka untuk membuatkan ia cepat kering. Tok Aki percaya di kebanyakan kediaman akan ada tersimpan iodin untuk kegunaan sewaktu kecemasan.

 

Jadi, entri kali ini Tok Aki nak kongsi satu petua saja untuk merawat luka dan menghentikan pengaliran darah menggunakan Daun Pokok Kapal Terbang.

 

Tok Aki tak pasti anda semua kenal atau tidak dengan daun Pokok Kapal Terbang. Mungkin generasi baharu tidak kenal. Namun jika anda berada di kampung atau di kawasan taman di pinggir bandar, pasti anda akan sedari kehadirannya di laman-laman rumah anda. Ia mudah tumbuh dan meliar di kawasan laman.

 

daun kapal terbang

 

Selain Pokok Kapal Terbang ada yang memanggilnya Pokok Selaput Tunggul. Ia adalah pokok yang sama yang memiliki banyak faedah terutama merawat luka dan menghentikan pengaliran keluar darah akibat luka.

 

Ia sememangnya benar. Tok Aki sendiri pernah mengalaminya sewaktu muda-muda dulu. Tok Aki masih ingat ketika menolong ayah Tok Aki menyiapkan rumah (ayah Tok Aki ni tukang rumah), tapak tangan Tok Aki terkena bucu jubin semasa Tok Aki tengah ralit mencucinya.

 

Kebetulan pula sewaktu luka tu Tok Aki berada di bawah terik mentari. Apa lagi, darah mengalir keluar meleleh-leleh dengan banyak dan tak henti-henti. Melihat tapak tangan Tok Aki berdarah, cepat-cepat ayah Tok Aki capai Daun Pokok Kapal Terbang lalu digumpal hingga lumat dan ditempelkan pada luka tadi.

 

Memang ‘power’, sekelip mata darah berhenti mengalir dan sakit pada luka Tok Aki beransur hilang. Jadi, Tok Aki nasihatkan jika luka dan berdarah tempelkan saja gumpalan Daun Kapal Terbang.

 

Caranya, amat mudah dan cepat. Anda cuma perlu mengumpal daun berkenaan hingga lumat (baunya tak wangi tau) dan tempelkan pada luka yang berdarah… Insya-Allah ia akan menghentikan pengalirtan keluar darah dengan cepat dan berkesan.

 

Selain merawat luka dan menghentikan pengaliran keluar darah, Daun Kapal Terbang juga mujarab untuk meredakan kembung perut dan ciri-birit bayi dan menghilangkan gatal pada kulit.

 

Mungkin mereka yang tinggal di kampung atau rumah taman mudah untuk mendapatkan daun ini. Jika anda tinggal di apartmen atau kondominium, Tok Aki nasihatkan simpanlah iodin untuk kegunaan waktu kecemasan.

 

Tok Aki harap petua tak seberapa Tok Aki ni akan memberi manfaat kepada anda semua.. Yang pasti Daun Pokok Kapal Terbang sememang mujarab (dengan izin Allah) untuk merawat luka kecil.

 

Selamat Mencuba..

 

Sekian

Shares

Leave a Reply