Pentingnya Insurans

insurans

Di sebalik makin ramai yang faham akan kepentingan insurans, masih ada yang tidak sedar bahawa insurans memainkan peranan penting dan memberi banyak kebaikan kepada mereka yang melanggannya.

Ini kerana semua daripada kita tidak tahu bila musibah akan menimpa diri kerana malang tidak berbau. Apabila terkena musibah, apa lagi yang dapat menampung bebanan yang dihadapi.

Ini kerana kesihatan bukan perkara main-main. Tidak semestinya kita muda dan sihat tidak boleh diserang penyakit kronik atau kemalangan sehingga hilang upaya untuk meneruskan kelangsungan hidup termasuk mencari rezeki.

Apabila berlaku perkara-perkara tidak diingini, barulah kita menjadi seperti kata pepatah “Sudah Terhantuk Baru Tengadah”. Baru kita mengerti mengapalah kita tidak “Sediakan Payung Sebelum Hujan”.

Insurans memainkan peranan penting dalam melindungi sesiapa saja sebagai pemegang polisi.

Walaupun tawaran perlindungan banyak dan seolah satu persaingan kepada syarikat insurans menawarkan yang terbaik kepada pelanggan, namun kita mempunyai pilihan berdasarkan kemampuan dan komitmen.

Ada kalanya, kita sendiri sering mempunyai stigma ke atas produk insurans termasuk promosi yang digembar-gembur dalam apa jua media perantara.

Dari sudut lain, syarikat insurans juga mempunyai tanggungjawab bukan sekadar mendapat keuntungan hasil jualan produk mereka, malah mereka juga menetapkan tanggungjawab untuk memastikan lebih ramai memiliki polisi.

Pada usia muda, mereka digalakkan mengambil insurans kerana ia menawarkan manfaat jelas termasuk dari segi pulangannya apabila polisi yang dilanggan mencapai tempoh matang.

Malah, dari segi komitmen bulanannya juga berkemungkinan lebih rendah, berbanding mereka yang mengambilnya pada usia tua.

Secara dasarnya, terdapat pelbagai insurans ditawarkan di pasaran ketika ini merangkumi insurans hayat, kesihatan pendidikan dan am.

Namun, produk paling popular tidak kira syarikat insuransnya adalah hayat dan pendidikan.

Bagi memenuhi tuntutan mereka yang beragama Islam, syarikat takaful kini memberi tumpuan untuk menawarkan insurans takaful yang menawarkan fungsi lebih Islamik.

Produk takaful kini mendapat perhatian bukan sahaja kepada mereka yang beragama Islam, malah yang bukan Islam juga semakin berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut manfaat yang ditawarkan takaful.

Walaupun apa jua insurans di ambil sama ada takaful atau konvensional, ia sebenarnya menawarkan manfaat asas yang hampir sama iaitu perlindungan jika berlaku kemalangan atau kematian, tujuan pendidikan dan kesihatan.

Ini kerana, setiap insurans masing-masing memiliki kelebihan dan menguntungkan pemegang polisi.

Insurans juga terbahagi kepada dua kumpulan iaitu perlindungan serta simpanan. Insurans berbentuk simpanan membolehkan pelanggan mendapat balik semua wang yang dilaburkan selepas mencapai tempoh matang mengikut keuntungan dari segi peratusan yang ditawarakan oleh syarikat berkaitan.

Insurans berbentuk perlindungan, ia memberi perlindungan semata-mata dan tidak membabitkan simpanan.

Terdapat pelbagai jenis insurans, namun pilihan terletak di tangan kita, produk mana yang dirasakan sesuai, berbaloi dan memenuhi kemampuan kita dari segi komitmen bulanan.=

Kita seharusnya sedar bahawa memiliki polisi insurans adalah sesuatu langkah yang amat bijak dan kita juga tidak terhad kepada satu insurans, malah boleh mengambil lebih perlindungan dari syarikat berlainan berdasarkan kemampuan.

Shares

Leave a Reply