Pentingnya Bahasa Ketiga

meeting

Langkah mengutamakan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa pengantar utama dalam urusan pekerjaan adalah penting, namun dengan penguasaan bahasa ketiga ia bakal memantapkan lagi pengurusan sesebuah syarikat atau organisasi.

Bahasa ketiga dapat memberi kelebihan kepada sesetengah individu untuk memperoleh pekerjaan yang diinginkan, tetapi ia seharusnya digandingkan dengan kemahiran komunikasi yang berkesan.

Di Malaysia, sendiri, terdapat ribuan syarikat atau organisasi terutama multinasional atau asing yang menitikberatkan setiap kakitangannya memiliki kemahiran dan boleh menguasai bahasa ketiga.

Contohnya, syarikat dari Jepun mahukan pekerjanya berkemampuan bertutur dalam bahasa Jepun, begitu juga dengan syarikat dari China yang mengharapkan pekerjanya dapat menguasai bahasa Mandarin dan sebagainya.

Bagi mencapai keupayaan dan kemampuan, terdapat pelbagai kelas disediakan dengan menawarkan harga berpatutan untuk memudahkan seseorang individu mempelajari bahasa ketiga mengikut citarasa pilihan bahasa yang ingin dipelajari.

Selain ia berkesan, kelas berkenaan juga memberi kelebihan kepada setiap individu yang dapat menguasai bahasa ketiga mendapat pekerjaan yang berkaitan seperti penterjemah, perunding dan sebagainya.

Menerusi laman web yang disediakan, internet juga menjadi medan perkhidmatan maklumat yang paling banyak menawarkan kepada orang ramai untuk mempelajari bahasa ketiga secara percuma.

Jika dulu bahasa ketiga tidak begitu dititikberatkan oleh sesetengah syarikat mahupun organisasi, namun keadaan itu kini berbeza kerana penguasaan bahasa ketiga adalah satu kelebihan kepada setiap individu yang bekerja dengan syarikat antarabangsa.

Kelebihan bertutur dalam bahasa ketiga selain bahasa Melayu dan Inggeris mampu meningkatkan tahap keyakinan kepada seseorang untuk terus maju dalam kerjaya yang diceburi dan seterusnya memudahkan komunikasi ketika berurusan dengan syarikat antarabangsa lain.

Selaras dengan kewujudan pelbagai syarikat antarabangsa yang tumbuh ‘bak cendawan selepas hujan’ di negara ini, bahasa ketiga mempunyai peranan penting bagi memudahkan pekerja berkomunikasi dengan syarikat yang memiliki pekerja dari negara mereka sendiri.

Kini, kebanyakan syarikat ataupun perusahaan mengambil kira sekiranya seseorang individu dapat menguasai bahasa ketiga ataupun tidak kerana setiap majikan mengimpikan pekerjanya serba boleh dan dapat menghasilkan hasil kerja yang produktif.

Kesedaran untuk menguasai bahasa asing lain adalah penting bagi memastikan setiap individu yang ingin bekerja di syarikat antarabangsa dapat menyiapkan diri supaya lebih mahir lagi dalam menguasai bahasa ketiga serta dapat memberi banyak manfaat kepada diri sendiri.

Shares

Leave a Reply