Masalah Modal Memulakan Perniagaan?

Masalah Modal

Modal permulaan menjadi satu isu besar kepada usahawan Melayu Islam yang mahu memulakan perniagaan dan dilema ini sering di hadapi mereka mahu berniaga tetapi modal tidak mencukupi.

Jika tidak memiliki simpanan, jalan penyelesaian biasa yang akan diambil adalah membuat pinjaman bank atau merujuk agensi kerajaan berkenaan. Tetapi adakah mereka berkelayakan ditambah lagi dengan kerenah birokrasi.

Dengan masalah yang dihadapi mereka, ada yang bertindak memohon pinjaman dengan pemberi ‘pinjaman berlesen’ yang dikatakan lebih mudah dan cepat untuk mendapatkan pinjaman.

Namun begitu, pemohon bukannya tidak sedar dengan risiko meminjam daripada lintah darat atau pun ah long tetapi mereka tidak mempunyai pilihan lain.

Masalah hutang bukan saja dipikul oleh golongan usahawan yang ingin memulakan perniagaan malah ia turut dihadapi oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Dikatakan hutang isi rumah rakyat negara ini melebihi 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagi usahawan yang ingin memulakan perniagaan tetapi kurang modal dan perlu membuat pinjaman dengan bank. Ada beberapa tips yang boleh digunakan.

* BERSEDIA MEMBUAT PEMBENTANGAN KEPADA PIHAK BANK.
Sebagai contoh anda ingin memulakan perniagaan percetakan. Apa yang perlu anda lakukan dengan menyiapkan profil syarikat. Anda dinasihatkan untuk mendaftar syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Anda perlu menyiapkan kertas kerja atau kertas cadangan dengan membuat beberapa kajian termasuk potensi perniagaan, lokasi perniagaan, peluang untuk berkembang.
Ini kerana pihak bank akan menilai potensi perniagaan anda. Mereka perlu memastikan perniagaan anda berpotensi dan yang lebih penting anda dapat membayar balik pinjaman dalam tempoh masa yang ditetapkan atau mungkin menjelaskannya lebih awal.
Ada kalanya pihak bank juga perlu berhati-hati dalam memberi pinjaman untuk mengelakkan peratusan hutang tidak berbayar (NPL) mereka meningkat disebabkan kesulitan peminjam melunaskan hutang mereka.

* RUJUK AGENSI KERAJAAN BERKAITAN SEPERTI AIM ATAU TEKUN
Kerajaan pada masa ini menubuhkan pelbagai agensi untuk membantu usahawan baharu mengembangkan perniagaan di mana dengan cara ini dapat menyokong pembangunan ekonomi domestik.
Ketika ini terdapat pelbagai saluran untuk usahawan baharu mendapatkan pembiayaan termasuk TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TERAJU, agensi di bawah kementerian-kementerian dan sebagainya.
Cuma apa yang penting kepada usahawan adalah membuat carian untuk mendapatkan dana dan tidak hanya tertumpu kepada satu saluran saja.
Sebagai bakal usahawan mereka perlu peka dengan persekitaran termasuk maklumat berguna untuk mendapatkan pinjaman, tawaran dan manfaat yang ditawarkan menerusi media massa.
Hentikan sikap menyalahkan orang lain jika ingin berjaya sebaiknya memanfaat setiap peluang yang diberikan.
Apa yang penting adalah menggunakan saluran yang tepat, betul dan telus.

Shares

Leave a Reply