Makan Jangan Berlebihan

Makan Berlebihan

Kehidupan moden yang kita lalui ketika ini sebenarnya penuh dengan tekanan. Anda sudah pasti tidak dapat lari dari tekanan tidak kira di mana anda berada.

Disebabkan itu kita memilih untuk mengambil makanan penenang (comfort food) bagi meredakan tekanan kerana ia kaedah paling mudah lagi murah berbanding berjumpa pakar sakit jiwa atau kaunselor ataupun dengan mengambil ubat penenang.

Ramai menyangka bahawa dengan makan, kita akan menjadi lebih tenang berbanding mengambil ubat. Melegakan tekanan membantu kesejahteraan hidup, jadi makan bagi tujuan itu jatuh dalam lingkup frasa ‘Makan Untuk Hidup’.

Ketika fikiran berkecamuk, diri dibelenggu tekanan, ramai yang memilih untuk makan sebagai jalan keluar. Nikmat pencuci mulut yang manis, minuman berkarbonat dan makanan segera, semua bagai ‘menyembuhkan’ kekusutan yang dihadapi.

Tetapi ramai yang tidak sedar bahawa pergantungan kepada gula seperti ini merupakan penyebab kepada kegemukan dan pelbagai penyakit berbahaya lain seperti artritis, diabetes, depresi, hipertensi, pening kepala, obesiti dan beberapa jenis penyakit yang berkaitan dengan berat badan.

Kebiasaannya, tekanan yang tidak terkawal mempercepatkan proses kehilangan tenaga dan daya tumpuan seterusnya menyebabkan kita sering berasa lapar dan memilih untuk makan meskipun perut masih kenyang.

Bagi meredakan kelaparan yang menambahkan lagi kerunsingan itu, kita kebiasaannya memilih untuk mengikut nafsu dan makan yang mana ia kerap kali berakhir dengan peningkatan pengambilan kalori serta menyebabkan pengumpulan lemak degil di dalam badan.

Bagaimanapun, keadaan ini boleh dielakkan jika anda berpegang kepada dua kata kunci iaitu Disiplin dan Sabar.

Anda perlu menanam dalam minda bahawa walaupun tekanan tidak boleh dielakkan, ia masih boleh diuruskan. Dengan disiplin dan sabar anda pasti dapat mengelakkan beban kerja yang bertimbun atau apa jua penyebab kepada tekanan itu.

Terdapat beberapa tips yang boleh dikongsi untuk mengawal tekanan ataupun stress dengan menggunakan makanan.

* Vitamin C.
Kajian menunjukkan pengambilan vitamin C dapat membantu menurunkan kadar hormon penyebab tekanan. Vitamin C sebenarnya banyak terkandung dalam buah-buahan seperti limau, jambu, kiwi dan strawberi.
Oleh itu, pengambilan Vitamin C adalah lebih baik bukan datang daripada suplimen atau ubat sebaliknya, dari buah-buahan yang mengandungi kandungan serat yang tinggi yang mampu mengelakkan kolesterol jahat daripada mendak di dalam tubuh.

*Teh Panas.
Teh panas terbukti dalam beberapa kajian barat untuk membantu anda mengatasi kecemasan dan meningkatkan daya tumpuan. Tanpa tambahan banyak gula, teh adalah minuman rendah kalori.

* Karbohidrat Kompleks
Hidangan yang mengandung karbohidrat menggalakkan pengeluaran hormon serotonin yang membuat anda tenang. Pilih karbohidrat kompleks dan hindari gula. Contohnya, bijirin, roti gandum dan kekacang.

Shares

Leave a Reply