Kerjaya Jururawat bagi Lelaki

Tugas sebagai jururawat sememangnya mencabar dan amat memerlukan kesabaran tinggi terutama ketika melayani pesakit yang memiliki pelbagai kerenah.

Ada yang berpendapat, sifat penyabar sinonim dengan dan kerjaya sebagai jururawat juta sesuai untuk golongan Hawa.

Namun, zaman sudah berubah apabila semakin ramai lelaki menceburi bidang kejururawatan yang dulunya dipelopori oleh golongan wanita.

Tugas sebagai jururawat penting kerana ia bukan hanya membantu doktor tetapi sebagai penolong kepada pakar perubatan melaksanakan tugas merawat dan menjalankan prosedur klinikal.

Sehubungan itu, kehadiran golongan Adam dalam kerjaya jururawat kini amat diperlukan kerana peranan yang dapat dimainkan dalam membantu tugasan di hospital dan pesakit terutama yang memerlukan lebih kudrat.

Segelintir masih menganggap profesion ini tidak begitu glamor berbanding dengan kerjaya profesional lain seperti peguam, guru, doktor, jurutera, arkitek atau akauntan tetapi ia mampu memberi jaminan dan masa depan cerah kepada mereka terutama pelajar yang mengikuti kursus berkenaan.

Ini kerana ia mempunyai nilai pasaran tinggi terutama di negara luar seperti Asia Barat yang bersedia menawarkan tempat untuk berkhidmat di sana.

Selain memerlukan minat mendalam terhadap kerjaya itu, pelajar perlu juga menepati beberapa kelayakan yang diperlukan sebelum mengikuti kursus kejururawatan.

Penguasaan dan pengetahuan yang baik dalam bidang sains dan matematik antara kelayakan asas yang diperlukan memandangkan tugas jururawat banyak berkaitan dengan perubatan.

Selain itu, jika seseorang pelajar menetapkan matlamat untuk mengikuti kursus kejururawatan ia adalah langkah awal dalam membuat persediaan mengumpul pengetahuan serta maklumat berkaitan bidang perubatan yang boleh menjadi kelebihan mereka mengikuti kursus kejururawatan.

Dalam pada itu, penguasaan bahasa Inggeris juga amat penting untuk bergelar jururawat kerana kebanyakan istilah menggunakan bahasa antarabangsa itu.

Tips menjadi seorang jururawat :

1. Selain minat, kesabaran antara kriteria penting yang perlu ada jika seseorang ingin menceburi bidang kejururawatan.

2. Tidak terhad kepada wanita, malah lelaki juga mampu bergelar jururawat.

3. Kerjaya ini menawarkan pasaran tinggi terutama di luar negara seperti Asia Barat.

4. Perlu memiliki pengetahuan dan penguasaan yang baik dalam bidang sains dan matematik kerana tugas jururawat banyak berkaitan dengan perubatan.

5. Penguasaan bahasa Inggeris adalah amat diperlukan jika anda ingin bergelar sebagai seorang jururawat.

Shares

Leave a Reply