Katakan Tidak Kepada Gaya Hidup Berhutang

berhutang

Kebanyakan kemewahan yang kita lihat ketika ini adalah diperoleh daripada hutang kerana ia seperti sudah sebati dalam hidup masyarakat kita yang saling berlumba-lumba untuk menonjolkan kemewahan material dimiliki.

Bak kata orang tua, Biar Papa Asalkan Bergaya seolah-olah menjadi satu kemestian kepada kebanyakan masyarakat. Dari baju, seluar, kasut, kereta, rumah hinggalah gajet terbaharu semata-mata mahu dipandang oleh rakan-rakan dan masyarakat sekeliling.

Menyedihkan adalah semua harta yang dimiliki dengan cara berhutang. Akibatnya mereka bukan saja gagal untuk menguruskan hutang tetapi juga menyebabkan perbelanjaan harian mereka tidak teratur.

Bukan semua hutang tidak bagus. Namun kebanyakan hutang adalah tidak baik. Mungkin jika kita berhutang untuk mendapatkan harta yang bernilai tinggi seperti rumah yang berharga mungkin RM500,000 ke atas adalah sesuatu yang boleh dikatakan wajar.

Ini kerana simpanan yang ada belum tentu dapat menampung kita memiliki rumah bebas hutang. Jadi agak mustahil untuk kita lakukan tanpa hutang.

Namun, jika berhutang kad kredit untuk mendapatkan sesuatu yang bukannya keperluan tetapi kehendak adalah sesuatu yang perlu dielakkan.

Golongan muda atau Generasi X pada masa ini kurang memikirkan mengenai kemampuan pendapatn untuk menampung perbelanjaan. Ini kerana apa yang penting adalah kemewahan yang boleh ditunjuk-tunjuk kepada orang lain.

Jadi adalah tidak mustahil apabila pendapatan yang diperoleh setiap bulan selepas ditolak ansuran kereta, rumah dan insurans kesihatan, bil air, bil elektrik dan sebagainya, bakinya mungkin tinggal ‘cukup makan’ atau tidak mencukupi untuk tabungan.

Adalah jelas kelompok anak muda ini tidak merancang perbelanjaan mereka. Mereka membeli barangan mewah yang sebenarnya tidak mereka perlukan. Bahayanya mereka menggunakan wang pinjaman untuk memperoleh kesemua kemewahan tersebut.

Satu lagi contoh hutang perlu adalah pembelian kereta yang lazimnya dilakukan secara pinjaman bank. Jadi, sebagai mereka yang peka kepada pendapatan dan perbelanjaan, adalah perlu menentukan ansuran bulanan sewa beli, kos tambahan yang akan ditanggung secara berkala iaitu dari segi perbelanjaan untuk minyak, tol dan kos penyelenggaraan.

Adalah menjadi satu kepentingan kepada seseorang individu untuk bijak dalam menguruskan kewangan mereka bagi mengelakkan mereka terjerumus ke dalam perangkap muflis.

Oleh yang demikian, ketagihan hutang dalam kalangan generasi muda perlu dibendung di peringkat awal lagi sebelum ia menjadi satu barah dalam kehidupan mereka.

Hutang akan menyebabkan mereka ditimpa masalah dalam pekerjaan, kehidupan dan juga hubungan dengan Pencipta.

Disebabkan hutang, mereka mungkin kehilangan rakan-rakan, pekerjaan, keluarga dan lebih parah lagi ia mendorong mereka untuk melakukan perkara yang tidak patut seperti jenayah.

Justeru, gaya hidup mewah seharusnya dikekang seperti mana kata orang tua Ukur Baju Di Badan Sendiri.

Shares

Leave a Reply