Jom Sihat Wahai Wanita!

Assalamualaikum… Semua Pembaca..

Tok Aki rasa macam sudah lama tidak menulis dalam blog Dunia Herbs kebelakangan ini dek kerana terlalu sibuk dengan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan..

Pada entri terbaharu ini Tok Aki ingin bercerita tentang berat badan unggul bagi memastikan tahap kesihatan yang optimum.

Pada hemah Tok AKi, bukan semua orang bernasib baik kerana berjaya memiliki berat badan idaman disebabkan faktor lain seperti genetik dan penyakit. Jadi kita yang sihat elok ni seharusnya bersyukur.

Lazimnya, wanita sentiasa mahu kelihatan cantik dan anggun. Mungkin lelaki macam Tok Aki ni tidaklah kisah sangat. Namun, bagi kebanyakan wanita apabila sudah berumahtangga dan beranak pinak, berat badan mereka mula meningkat dengan drastik lebih lagi apabila hamil atau selepas melahirkan anak.

Keadaan ini seterusnya menyumbang kepada obesiti dalam fasa kehidupan mereka yang seterusnya.

Sebenarnya, bagi Tok AKi obesiti bukan saja menjejaskan penampilan diri malah mengundang banyak masalah seperti kolesterol tinggi, mudah berasa penat atau mengah, masalah kencing manis dan bengkak.

Namun begitu, kenaikan berat badan sememangnya tidak dapat dielakkan kepada ibu mengandung kerana apabila mereka hamil beberapa hormon dirembes termasuklah hormon progesteron dan prolaktin yang merangsang pengumpulan lemak di tubuh.

 

ibu mengandung

Sehubungan itu, Ibu hamil digalakkan membuat senaman ringan sepanjang tempoh mengandung kerana ia dapat membakar kalori berlebihan selain selain dapat menguatkan jantung dan membekalkan lebih banyak oksigen kepada bayi yang dikandung.

Akan tetapi, selepas melahirkan anak, kebanyakan wanita kurang melakukan aktiviti senaman yang pada Tok Aki seharusnya diteruskan dan dilakukan lebih kerap. Alasan yang biasa didengar adalah soal masa kerana masa yang ada diperuntukkan sepenuhnya kepada menjaga bayi, suami dan rumah tangga yang sememangnya tidak akan habis sepanjang hari.

Ada yang berpendapat, banyak pergerakan selepas bersalin boleh mengakibatkan luka lambat sembuh ataupun jahitan terbuka dan ini menyakitkan serta amat tidak selesa kepada si ibu. Namun, mereka tetap boleh melakukan senaman tetapi biar berpada dan ringan.

Bagaimanapun, mereka memiliki kaedah semula jadi untuk mempercepatkan penurunan berat badan selepas bersalin iaitu dengan menyusu anak kecil dengan susu badan sepenuhnya.

Ini kerana, kajian ilmiah menunjukkan susu badan mempercepatkan pengecutan rahim selepas melahirkan dan bayi juga mendapat khasiat yang diperlukan untuk tumbesaran secukupnya.

Namun, ada yang mengeluh kerana menyusu badan menyebabkan mereka lebih cepat berasa lapar. Itu bukan alasan kerana terdapat banyak cara untuk mengatasi masalah ini termasuk pemakanan seimbang.

Tok Aki ingin berpesan, makanlah dengan kerap tetapi dalam kuantiti yang sedikit supaya penurunan berat badan berjalan dengan baik.

Kaum hawa juga perlu ingat, pengambilan pemakanan dengan nutrisi yang lengkap amat penting bagi menjamin kesihatan anda pada tahap optimum.

Sekian…

Shares

Leave a Reply