Jom Pikat Selera Anak!

makan

Jangan pandang ringan, selera makan anak anda. Ini kerana banyak implikasi kesan daripada masalah ini seperti kecerdasan otak terjejas, pertumbuhan fizikal terganggu dan mudah diserang penyakit.

Justeru, ibu bapa perlu peka, kreatif dan mempunyai ilmu berkenaan pemakanan kerana kanak-kanak mempunyai tabiat selera makan berbeza.

Ada anak suka makan dan ada yang gemar memilih makanan. Apabila terlalu memilih, akibatnya, lebih banyak makanan ditolak berbanding dimakan.

Kajian di negara Barat mendapati, kuantiti makanan diambil seorang kanak-kanak adalah berbeza. Malah, jangan menilai kanak-kanak kurus itu tidak mendapat nutrien, manakala bertubuh gempal adalah sihat.

Satu ketika dulu, timbul trend ibu bapa keterlaluan memberi pelbagai vitamin dan makanan hanya supaya anak dilihat gemuk dan montel. Mereka mempunyai persepsi anak gemuk adalah comel dan sihat.

Jangan nilai fizikal

Harus ingat, tabiat makan keterlaluan juga mendorong pelbagai masalah kesihatan apabila anak meningkat usia, manakala yang tidak berselera pula boleh diancam kekurangan nutrisi penting dalam tumbesaran.

Bagaimanapun, memang wujud genetik kanak-kanak yang secara semula jadi bertubuh kecil, namun mereka bukanlah kurang berat badan.

Sebenarnya, kuantiti makanan yang diambil oleh seseorang kanak-kanak itu tidak melambangkan tahap kesihatannya. Jika anak banyak tenaga dan tumbesarannya normal, dia sebenarnya sihat meskipun hanya makan sedikit.

Jika berat badan anak tidak naik dan dia seakan tidak sihat, anda perlu berusaha mendapatkan nasihat mereka yang arif.

Jom berkongsi panduan untuk ibu bapa memberi nutrisi terbaik kepada anak. Tidak dinafikan, proses memberi makanan kepada kanak-kanak berusia antara satu hingga enam tahun begitu mencabar dan sebagai ibu bapa, anda tidak boleh cepat putus asa.

Kaedah tarik perhatian si kecil untuk makan

1. Cipta suasana makan yang menceriakan. Jika di rumah, sediakan ruang makan selesa dan menarik perhatian si manja. Hiasi ruang makan anak dengan susun atur menarik. Mungkin anda boleh gunakan cat terang dan pelekat dinding menarik.

2. Duduk makan semeja amat penting untuk timbulkan suasana kekeluargaan dan memancing selera anak. Biasanya, anak kecil suka mengganggu di meja makan, tetapi anda tidak perlu tertekan dengan situasi ini, sambut kedatangan anak kecil di meja makan anda.

3. Benar, adab makan perlu dijaga dan tidak baik mengajar anak makan berdiri. Tetapi untuk menarik selera si kecil, boleh saja anda mencuba membawa anak bersiar di taman atau menyuap anak ketika dia mengayuh basikal. Pasti lebih berselera si kecil anda.

4. Pastikan kuantiti makan tidak terlalu banyak kerana jumlah makanan yang banyak membuatkan anak tidak berselera. Kajian psikologi menunjukkan, jumlah yang terlalu banyak membuatkan si kecil kurang memberi perhatian, berbanding jumlah sederhana yang lebih membuka selera.

5. Jika mahu memberi anak makan sayur hijau, jangan paksa. Anda perlu kreatif dalam hidangan menu. Sama ada hancurkan dalam makanan atau reka bentuk untuk hasil lebih menarik. Pasti anak anda mahukan hidangan air tangan anda setiap hari.

Shares

Leave a Reply