Jom Menabung!

Tips-Untuk-Menabung

Masih ingatkan lagi apa yang diperkatakan dalam iklan Amanah Saham Bumiputera (ASNB) iaitu “Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”.

Kata-kata azimat ini ada juga dipersendakan dan buat kelakar. Ia sebenarnya menyimpan banyak maksud tetapi mesejnya mudah iaitu menabung biarlah dari muda.

Bagaimanapun, kita sendiri dapat melihat bahawa amalan menabung dalam kalangan masyarakat kita masih rendah terutama di kalangan orang dewasa.

Malah, jika ada sekali pun sekadar “hangat-hangat tahi ayam” atau sekadar “melepaskan batuk di tangga”. Orang kita selalu berangan dengan wang seciput yang di simpan bagaikan boleh membeli banyak benda sehingga mengenepikan tabungan itu sebenarnya untuk masa depan keluarga dan anak-anak.

Sebelum membuat tabungan. Anda perlu tahu bahawa terdapat pelbagai cara menabung. Ada yang menyimpannya di rumah, membuka akaun simpanan peribadi atau bersama, membuat pelaburan dengan saham amanah, menabung dengan Tabung Haji dan juga yang terkini dan paling selamat menabung dengan membeli emas atau membuka akaun simpanan emas di bank tertentu.

Walaupun apa jua cara menabung, ia seharusnya dipupuk dari awal dan dilakukan beransur-ansur namun istiqamah. Sebelum mengajar anak untuk menabung, kita seharusnya mulakan dengan diri sendiri. Ini kerana cara didikan kita menentukan sifat anak apabila ia besar kelak. Oleh itu terapkan sikap suka menabung dalam jiwa mereka hingga ia dewasa dan berdikari.

Biasakan membudayakannya dalam diri mereka supaya ia menjadi satu amalan setiap hari. Sebagai contoh, ajar mereka menabung satu pertiga daripada wang poket yang diberikan setiap hari ke sekolah.

Bagi orang dewasa pula, jadikan amalan menabung pada awal bulan selepas menerima gaji. Anda tentu memiliki cara pengiraan tersendiri untuk liabiliti lain termasuk pinjaman kereta, rumah dan peribadi. Apa yang perlu dilakukan tetapkan perbelanjaan bulanan. Sejurus mendapat gaji, asingkan terus untuk tujuan tabungan.

Biasakan diri kerana menabung awal mampu menjadikan amalan anda lebih istiqamah dan jangan jadikan amalan menabung pada hujung bulan kerana ia pastinya tidak akan berjaya.

Shares

Leave a Reply