Jom makan ulam dan sayur

Ikan masak assam and ulam

Sebut saja ulam-ulaman atau sayur-sayuran, kebanyakan orang kita akan meminggirkan hidangan berkhasiat ini kerana rasanya tidaklah sesedap makanan lain.

Jadi boleh dikatakan dua hidangan sihat ini menjadi hidangan yang paling kurang digemari lebih-lebih lagi kanak-kanak.

Keadaan itu juga berlarutan hinggalah kepada mereka yang dewasa dan boleh dikatakan ada golongan ini tidak menggemari sayuran walaupun mereka tahu ia mempunyai khasiat yang tinggi untuk kesihatan.

Namun, kita tidak boleh nafikan bahawa sayur dan buah memainkan peranan penting bagi sesiapa yang mahu mengurangkan berat badan secara sihat.

Kandungan air dan serat tinggi dalam kebanyakan buah-buahan serta sayur-sayuran menjadi pilihan terbaik kepada mereka yang mementingkan pemakanan sihat termasuk menjadikan ulam-ulaman sebagai makanan mesti setiap untuk makan tengah hari atau malam.

Kita seharusnya sedar bahawa vitamin dan khasiat dalam buah serta sayur membantu untuk memperoleh tahap kesihatan yang baik.

Selain itu, serat dapat membantu dari aspek penghadaman, sekali gus membolehkan tubuh memproses apa yang dimakan menerusi cara menyihatkan.

Namun, harus diingatkan bahawa cara penyediaan sebenarnya menyumbang kepada kehilangan vitamin dalam sayur atau buah.

Sehubungan itu, semua sayur-sayuran seharusnya dimasak ketika ia masih segar kerana rasa, rupa dan khasiat dalam ruji sihat itu masih dalam keadaan terbaik.

Sebahagian besar dari kita tahu bahawa memasak secara mengukus lebih baik berbanding merebus.

Ini kerana kaedah mengukus dapat memastikan zat pada sayur-sayuran tidak hilang. Jika terpaksa merebus, anda jangan merebus sayur-sayuran hingga lembik.

Beralih kepada ulam-ulaman, makanan ini turut mempunyai banyak khasiat termasuk mengandungi bahan antioksidan yang tinggi yang mampu menghalang tindakan radikal bebas.

Umum mengetahui, amalan memakan ulam menjadi satu budaya dan kemestian bagi masyarakat negara ini terutama orang Melayu sejak dulu lagi.

Jadi, amalan memakan ulam seharusnya dididik dan dibentuk sejak kecil supaya kita tidak hanya menjadi pencinta makan sihat malah mengenalinya.

Tidak dinafikan segelintir golongan muda ketika ini sudah tidak kenal dengan ulam-ulaman tradisional seperti daun kadok, daun belalai gajah atau ulam raja.

Kita tidak mahu usaha penanaman ulam-ulaman terhenti sehingga ia pupus di muka bumi dan anak-anak kita tidak lagi mendengar jauh sekali mengenali apa jua ulam yang pelik namanya.

Shares

Leave a Reply