Jangan Membazir!

membazir

“Rakyat Malaysia mati kerana terlebih makan, sedangkan rakyat negara lain mati kerana kebuluran”.  pada awalnya ungkapan ini berbunyi seperti jenaka. Namun bila difikir-fikirkan ungkapan ini ada kebenarannya.

 

Ayat di atas jelas menunjukkan berapa bertuahnya rakyat di bumi Malaysia yang aman ini apabila menjalani kehidupan dengan mewah. Dengan keamanan yang dinikmati, segala rutin mudah dilakukan dan rezeki tidak hanya melimpah kepada rakyat Malaysia tetapi juga direbut oleh warga asing tidak kiralah dengan izin atau tanpa izin.

 

Mungkin, kemewahan yang senang didapati menyebabkan berlakunya pembaziran sama ada secara sedar atau tidak disengajakan.

 

Pembaziran nyata kita boleh lihat pada majlis atau upacara tertentu termasuk majlis perkahwinan. Kenduri yang pada awalnya bertujuan untuk bersedekah dengan menjamu tetamu yangh hadir tetapi berakhir dengan pembaziran apabila makanan yang dihidangkan terlalu banyak sehingga tidak dapat dihabiskan seterusnya dibuang.

 

Kemewahan dalam mengadakan majlis keramaian adakalanya disebabkan sikap ingin menunjuk-nunjuk walaupun akhirnya kita yang rugi, malah turut dipalit dosa.

 

Akibat terlalu mewah dengan makanan, rakyat Malaysia juga menghadapi pelbagai penyakit berpunca daripada masalah terlebih makan yang menjurus kepada obesiti atau kegemukan.

 

Keadaan ini berlaku ketika rakyat dikatakan berhadapan dengan situasi kos sara hidup yang semakin meningkat tetapi situasi sebenar adakalanya tidak seperti digambarkan.

 

Semua ini disebabkan rakyat sudah terbiasa dengan kehidupan mewah dan walaupun dihimpit dengan kenaikan harga barangan. Mereka masih lagi kekal bersikap membazir.

 

Hakikatnya, golongan yang suka membazir walaupun berdepan dengan persekitaran ekonomi yang kurang baik mungkin tidak sedar bahawa wang yang mereka gunakan untuk menunjuk-nunjuk kemewahan itu boleh digunakan untuk pelbagai perkara yang boleh mendatangkan manfaat terutama bagi mereka yang memerlukan.

 

Mungkin mereka tidak sedar, pembaziran yang dilakukan seharusnya diubah menjadi satu perkara yang boleh mendatangkan kebaikan dan manfaat lebih-lebih lagi dalam situasi di mana harga barang terus meningkat naik.

 

Apa yang berlaku ketika ini, apabila harga barang naik ramai yang merungut dan tidak kurang juga yang menunding jari kepada pihak lain bagi memuaskan hati panas mereka.

 

Mereka harus ingat kemewahan yang dikecapi boleh ditarik pada bila-bila masa jika kita tidak bersyukur. Jadi, elaklah sebarang pembaziran, tentu banyak faedah yang bakal diterima bukan sahaja kepada individu terbabit tetapi juga masyarakat secara keseluruhannya.

Shares

Leave a Reply