Jaga-jaga Apabila Ingin Beli Kereta Terpakai!

used car

Membeli kereta menerusi iklan yang terdapat dalam akhbar atau internet bukannya sesuatu yang mudah kerana kita seharusnya mengetahui bahawa penjual kereta itu tulen atau sebaliknya.

Ini kerana ramai yang menggunakan media tertentu untuk meraih keuntungan atas angin atau lebih drastik kita sebut sebagai penipu.

Mungkin ramai di luar sana sudah terkena dengan modus operandi yang dijalankan mereka tiak bertanggungjawab yang bertindak seolah-olah mereka pemilik sebenar kereta berkenaan bagi menambah keyakinan pembeli.

Faktor kebijaksanaan ketika berbicara dengan penjual kereta sama ada menerusi telefon atau aplikasi sosial adalah elemen penting supaya tidak terpedaya dengan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Jika berasa sangsi, anda sebaiknya dinasihatkan menamatkan urus niaga itu dan jangan membuang masa. Antara beberapa soalan yang wajar ditanya ketika perbincangan, sama ada dengan pemilik sebenar, ejennya atau peniaga kereta terpakai, ialah:

* MENGAPA ANDA BERCADANG MENJUAL KERETA ITU?
Kebiasaannya, anda akan mendapat jawapan ini “Saya mahu bertukar kereta yang lebih besar dan lebih selesa untuk keluarga saya”. Atau mungkin “Saya ingin menjual kereta ini sebab mahu dapatkan kereta atau model lebih baharu”.
Apa jua sebab, anda sebagai bakal pembeli seharusnya mengetahui hasrat penjual.

* ANDA PERLU MELIHAT KERETA YANG INGIN DIJUAL.
Ini adalah langkah penting kepada sesiapa saja yang ingin membeli kereta terpakai kerana ada kalanya gambar kereta yang dipaparkan dalam iklan sedikit berbeza dengan fizikalnya.
Anda juga dinasihatkan supaya melihat bacaan odometer untuk menentukan betapa jauhnya perjalanan kereta berkenaan berdasarkan bacaan tersebut.
Jika kereta yang ingin dijual itu mencatat bacaan melebihi 100,000 kilometer walaupun usianya baharu mencecah dua tahun, sebolehnya carilah kereta lain.
Ada juga pemilik yang mahu menjual kereta secara terdesak walaupun baharu menggunakannya tidak sampai setahun. Jadi anda sebagai bakal pembeli perlu menyelidik mengapa ia berlaku. Biasanya, kereta terbabit pernah mengalami kemalangan, sering rosak atau ada sejarah hitam tertentu. Jadi, berhati-hatilah kerana tidak semua benda baru dan murah itu sempurna.

* PERIKSA REKOD SERVIS.
Rekod servis memainkan peranan penting bagi memastikan peralatan atau komponen kereta itu dijaga dengan baik menerusi servis secara berkala di pusat servis yang bertauliah.
Anda seharusnya peka dengan situasi ini kerana tidak semestinya bahagian luar kereta elok dan cantik dapat membuktikan cara penjagaan enjin dan komponen lain juga terurus.

* TANYA, KERETA ITU PERNAH KEMALANGAN ATAU TIDAK?
Pertanyaan ini dapat menentukan ketahanan kereta yang ingin kita beli. Jika terbabit dengan kemalangan, kita mempunyai hak untuk mengetahui sejauh mana impak kemalangan itu untuk memastikan kereta yang ingin dibeli tidak menelan banyak kos untuk dibaiki pada masa depan. Tanya juga adakah pembaikan itu menggunakan komponen asli atau sebaliknya.
Anda juga boleh merujuk mekanik untuk menentukan sejauh mana kondisi kereta berkenaan jika anda tidak begitu arif dengan bahagian enjin.

* HARGA YANG DITAWARKAN.
Ia adalah penentu kepada urus niaga. Jika harga terlalu tinggi sehinggakan melebihi harga pasaran. Anda dinasihati mengubah fikiran. Namun, sebelum menolak, adalah elok jika anda berunding untuk menurunkan sedikit harga supaya ia sesuai dengan bajet anda. Dalam hal ini, anda perlu bijak dalam berkata-kata supaya dapat meyakinkan dan mempengaruhi si penjual.

Shares

Leave a Reply