Guru Profesion Mulia, Didik Anak Bangsa

cikgu

Kerjaya sebagai guru adalah profesion yang amat mencabar ketika ini, jika dibandingkan dengan 10 atau 20 tahun dulu.

Profesion sebagai tenaga pengajar tidak kira di sekolah rendah mahupun menengah sudah mengalami perubahan drastik sejajar dengan keperluan dan peredaran masa kini yang mahukan guru lebih proaktif sistem pengajaran dan pembelajaran selain aktiviti kokurikulum.

Walaupun mereka dianggap sebagai seorang yang bakal menentukan hala tuju dan masa depan anak kita, namun masih ramai memberi tanggapan yang kurang enak terhadap tugas mereka.

Melihat kepada situasi semasa, ramai yang melihat sekolah sebagai organisasi yang menerima pelbagai bebanan tugas dan ada kalanya hadirnya bukan secara terancang tapi sesuatu tidak diduga.

Perubahan ini mengkehendaki guru lebih bersedia dan tidak kurang juga perlu menggunakan segala ilmu yang dimiliki untuk menjadikan sebarang perubahan dasar pendidikan diturun kepada murid dengan cara yang paling mudah difahami.

Sehubungan itu, profesion sebagai guru tidak lagi mudah seperti mana dulu, di mana ramai menganggap mereka (guru) hanya perlu ke sekolah seawal 7 pagi dan boleh pulang ke rumah selewat-lewatnya jam 2 petang.

Dulunya, pandangan sebegini pasti akan menyebabkan reputasi profesion perguruan yang sentiasa dipandang tinggi dan mulia terjejas, tetapi pada masa ini cabaran lain pula datang bertamu kepada insan yang bergelar guru.

Sebagai seorang guru yang profesional, mereka perlu tahu menghasilkan kerja bermutu tinggi  selain bersedia berkongsi kepakarannya di samping sentiasa berusaha memperbaiki untuk menjadi tenaga pengajar lebih baik demi kelangsungan masa depan murid dan sekolah yang diwakilinya.

Matlamat kerjaya seorang guru ialah untuk memberi didikan sempurna dan mudah difahami murid, sekali gus mengangkat murid menjadi pelajar cemerlang seperti mana yang dikehendaki sistem pendidikan negara.

Perkembangan ini seharusnya berlangsung dengan positif dan mereka yang berkerjaya sebagai guru memiliki satu tanggungjawab besar untuk melahirkan modal insan terbaik dan bermutu sejajar dengan hasrat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Semua seharusnya mengakui bahawa impak daripada tugas yang dilaksanakan guru ternyata memberi sumbangan yang amat penting dalam pembangunan ekonomi dan masa depan generasi muda khususnya dalam konteks pembinaan modal insan.

Sudah pasti seseorang guru mengetahui dan mengakui bahawa mereka perlu melalui beberapa peringkat dalam kerjayanya sebelum mencapai ke tahap kepakaran atau kecemerlangan yang di mahukan pihak sekolah atau pentadbiran pendidikan.

Antara cabaran yang perlu dihadapi sebagai pendidik anak bangsa adalah melahirkan masyarakat berilmu; berpengetahuan; memiliki asas komuniti, agama dan bangsa yang kukuh; bersatu padu; dan kompetitif.

Mana-mana negara di dunia amat mementingkan tahap pendidikan kerana ia adalah platform terbaik mengangkat Malaysia menjadi negara yang disegani di mata dunia.

Walaupun hakikat sebenar menunjukkan pendidikan adalah sekadar satu platform untuk mendapat pekerjaan lebih baik selain ‘soft skill’, kepentingan pelajaran tidak dapat disangkal lagi untuk membantu anak muda berkerjaya profesional.

Masyarakat yang lebih bertamadun kini mula menyedari bahawa pendidikan adalah perkara penting untuk menjamin kesejahteraan hidup pada masa akan datang.

Pada asasnya profesion perguruan kini dan selamanya adalah tetap sama iaitu mengajar, mendidik serta mengubah manusia yang bergelar pelajar daripada keadaan tidak mengenal huruf, mengira dan membaca kepada celik huruf, bijak dan menjadi manusia berpengetahuan dan berjaya.

Kini, perspektif berbeza mulai timbul dan ada kalanya guru sekadar guru, bukannya pendidik anak bangsa menjadi modal insan berjaya, mulia dan disegani.

Kalau dulu, guru yang merotan murid demi untuk menjadikan mereka berdisiplin dan berilmu akan diangkat oleh ibu bapa.

Namun, kini ia berubah di mana guru yang mengambil tindakan disiplin yang dianggap ‘keterlaluan’ bagi sesetengah ibu bapa, walaupun hakikat sebenar guru mahu anak-anak kita menjadi orang yang berguna.

Shares

Leave a Reply