Elak muflis Hidup Lebih Terjamin

Sebut saja muflis atau bankrap, tiada sesiapa di dunia ini mahu ia berlaku dalam hidup mereka kerana jika ia berlaku, ia akan memberi kesan buruk sehingga mati.

Namun, hakikatnya semua agak terkesan dengan peningkatan kos hidup yang mendadak akibat pengaruh ekonomi dunia serta harga minyak yang tidak menentu yang mana mampu menjurus kepada perkara-perkara tertentu seperti kehilangan pekerjaan seterusnya mampu menjadi penyebab terjerumus ke lembah muflis.

Apabila pengurusan kewangan tidak dapat dilakukan dengan baik ekoran tekanan ekonomi, ia akan menjejaskan cara seseorang menguruskan hutang dan ia menjadi penyebab kepada mereka untuk berhadapan dengan risiko muflis.

Jika ditelaah data Jabatan Insolvensi Malaysia. Saban hari ada saja yang diisytiharkan muflis. Menurut data dari tahun 2005 hingga 2012, seramai 243,823 orang diisytiharkan muflis.

Agak mengejutkan kerana sebanyak 57 peratus daripadanya berusia di bawah 45 tahun, manakala lebih 50 peratus yang diisytiharkan muflis akibat daripada salah guna kad kredit yang mana membabitkan mereka yang berusia di bawah 30 tahun.

Jadi, adalah penting untuk mengingatkan golongan belia berbelanja dengan bijak dan tidak mengikut hawa nafsu selain sikap yang suka menunjuk-nunjuk.

Kekurangan ilmu mengurus kewangan dan cetek pengetahuan menjadi faktor mengapa golongan belia khususnya terjebak dalam masalah hutang.

Selain itu, gaya hidup di luar kemampuan dengan menunjuk-nunjuk kemewahan yang disifatkan biar papa asal bergaya atau tidak tahu mengukur baju di badan sendiri turut menjadi punca masalah kewangan mereka.

Golongan belia yang berbelanja tanpa mengambil kira jumlah pendapatan bulanan seharusnya sedar tentang implikasi muflis.

Mungkin mereka tidak tahu apakah implikasi muflis di mana semua harta benda akan diuruskan oleh seorang pegawai pemegang harta dan mereka menyelenggarakan harta untuk melangsaikan hutang. Golongan muflis juga tidak dibenarkan ke luar negara.

Jadi elakkan diri dari terjerumus ke lembah muflis kerana ia akan merugikan anda dan menjejaskan kehidupan pada masa depan.

 

Muflis

Shares

Leave a Reply